Sabtu, 3 Jun 2017

ORANG KOMA & PENGSAN; ADAKAH WAJIB MENGGANTIKAN SOLAT DAN PUASANYA?

Soalan; orang yang pengsan atau koma berhari-hari, adakah dia wajib mengqadha solat dan puasa yang dia tinggalkan semasa sedang koma/pengsan itu?

Jawapan;

1. Orang yang sedang dalam koma/pengsan gugur kewajipan ibadat darinya (termasuk solat dan puasa). Adapun tentang qadha, maka bagi ibadat puasa, telah ijmak sekelian ulamak bahawa koma/pengsan tidak menggugurkan kewajipan mengqadha puasa. Maka orang yang tertinggal puasanya kerana koma/pengsan dia wajib mengqadha semua puasa yang ditinggalnya semasa sedang koma/pengsan itu apabila ia sembuh dari sakitnya (yakni tersedar dari koma/pengsannya). 

Jika komanya berterusan hingga saat kematiannya, hendaklah digantikan puasanya dengan fidyah sebagaimana sabda Nabi SAW; "Jika seseorang itu sakit dalam bulan Ramadhan, kemudian mati tanpa sempat menggantikan puasanya, maka hendaklah diberi makan (kepada orang miskin) bagi pihaknya dan tidak ada qadha atasnya" (Sunan Abu Daud; 2401, dari Ibnu 'Abbas RA).

2. Adapun solat, maka para fuqahak berbeza pandangan seperti berikut;

a)  Menurut jumhur ulamak (iaitu mazhab Maliki dan Syafiie)[1]; orang yang koma atau pengsan tidak dituntut mengqadha solat yang luput darinya sepanjang tempoh koma/pengsannya, kecuali jika ia tersedar pada suatu waktu solat ketika waktu masih ada (maka wajiblah dia menunaikan solat tersebut). Saidatina ‘Aisyah RA menceritakan; ‘Dia bertanya Nabi SAW berkenaan seorang lelaki yang pengsan, lalu menyebabkan dia meninggalkan solat (adakah wajib dia mengqadha solatnya?’. Maka baginda menjawab; “Tidak dituntut dia mengqadha solatnya, kecuali dia pengsan dan tersedar ketika waktu solat masih ada, maka wajiblah dia mengerjakan solat tersebut” (Sunan ad-Daruqutni; 1860. As-Sunan al-Kubra, al-Baihaqi; 1820).

b) Menurut Imam Abu Hanifah; jika jumlah solat yang tertinggal semasa koma/pengsan itu kurang dari lima solat, wajiblah dia mengqadhanya. Namun jika lebih dari 5 solat (iaitu 6 dan ke atas), tidaklah dituntut lagi dia mengqadha solat-solatnya.

c) Menurut mazhab Hanbali; orang koma/pengsan wajib mengqadha ke semua solat yang dia tinggalkan semasa sedang koma/pengsan sama ada bilangan banyak atau sedikit, berdalilkan amalan sahabat Nabi SAW iaitu ‘Ammar RA yang pengsan selama tiga hari. Apabila ia sedar dari pengsannya, dia mengqadha ke semua solat yang ditinggalnya dalam tiga hari itu. Pandangan yang sama turut di riwayatkan dari sahabat Nabi bernama Samurah bin Jundab RA.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1.    Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/267-268.
2.    Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, 3/7 (kitab as-Solah) dan 6/872 (kitab as-Shaum).




[1] Imam an-Nawawi menjelaskan dalam kitabnya al-Majmu’; “Sesiapa hilang akalnya dengan sebab yang tidak diharamkan (Syarak) seperti menjadi gila atau koma/pengsan atau hilang akal dengan sebab sakit atau meminum suatu ubat kerana keperluan atau dipaksa meminum suatu minuman yang memabukkan hingga hilang akalnya, tidak wajib solat atasnya dan bila ia tersedar, tidak diwajibkan qadha solat atasnya sama ada singkat atau lama tempoh gila dan pengsannya itu. Inilah yang menjadi mazhab kami (mazhab Syafiie)…. Namun jika hilang akal itu dengan sebab suatu yang diharamkan seperti dia meminum arak dengan sengaja, dengan tahu dan dengan pilihan sendiri (tanpa paksaan) atau meminum suatu ubat -yang diketahuinya boleh memabukkan- tanpa ada keperluan hingga menyebabkan akalnya hilang, tidak sah solatnya ketika itu dan bila akalnya kembali (yakni dia tersedar), wajib dia mengqadha solatnya  (al-Majmu’, 3/6).

Tiada ulasan:

BELAJAR DAN MENGAMBIL IJAZAH MELALUI YOUTUBE?

Soalan: amalan-amalan yang diijazah oleh ulamak atau guru melalui youtube adakah sah untuk diamalkan. Apa itu dikira sebagai ijazah dari gu...